HAWAII: Salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, Kilauea, kembali meletus pada Isnin lalu, yang memuntahkan lava setinggi 80 meter di Hawaii, kata Pakar Vulkanologi Amerika Syarikat.
Gambar yang disiarkan menunjukkan rekahan besar di Kilauea, yang terletak di Pulau Besar Hawaii, memancarkan jet-jet batuan cair ke udara.
Badan Pemantau Gunung Berapi Hawaii, USGS melaporkan letusan bermula selepas pukul 2:00 pagi (waktu tempatan) di bahagian barat daya Kaldera.
“Pada pukul 4:30 pagi, pancutan lava dengan ketinggian mencapai 80 meter telah dilihat.
“Bahan cair, termasuk bom lava dipancarkan dari lubang-lubang di dasar kaldera ke rim barat kaldera.
“Kepulan gas gunung berapi dan zarah-zarah halus telah mencapai ketinggian 6,000 hingga 8,000 kaki di atas paras laut dan angin mengarahkannya ke barat daya,” kata agensi itu.
Letusan itu berlaku dalam kawasan tertutup Taman Negara Gunung Berapi Hawaii, dengan lava mengalir terhad ke kawasan Halema’uma’u dan bahagian timur kaldera Kilauea.
Namun, pihak berkuasa memberi amaran gas sulfur dioksida yang dikeluarkan daripada rekahan akan bertindak balas dengan gas lain di atmosfera, menghasilkan ‘vog’ iaitu kabut gunung berapi yang boleh memberi kesan kepada manusia, haiwan dan tanaman.
Kilauea menjadi sangat aktif sejak 1983 dan meletus secara berkala, termasuk kali terakhir pada bulan September.
Ia adalah salah satu dari enam gunung berapi aktif yang terletak di Kepulauan Hawaii, yang turut merangkumi Mauna Loa, gunung berapi terbesar di dunia.
Walaupun Kilauea lebih kecil berbanding Mauna Loa, ia jauh lebih aktif dan sering menjadi tumpuan pelancong yang menaiki helikopter untuk menyaksikan fenomena hebat ini. -AGENSI