Gempa bumi gegar Vanuatu, tiada kerosakan besar berlaku

Gempa bumi gegar Vanuatu, tiada kerosakan besar berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY : Satu gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter menggegarkan bangunan di pulau utama Vanuatu awal pagi hari ini, namun tiada kerosakan besar dilaporkan.

Insiden itu berlaku hanya beberapa hari selepas gempa bumi dahsyat berukuran 7.3 skala Richter meragut 12 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di negara kepulauan Pasifik itu.

Kejadian tersebut menyebabkan bangunan konkrit di ibu negara, Port Vila runtuh serta mencetuskan tanah runtuh.

Gempa baharu pada Ahad, berlaku pada kedalaman 40 kilometer dan kira-kira 30 kilometer di barat Port Vila.

Berbanding kejadian sebelum ini, gempa kali ini tidak mencetuskan amaran tsunami meskipun berlaku pada pukul 2.30 pagi waktu tempatan.

Perkhidmatan komunikasi mudah alih yang terjejas sejak gempa Selasa lalu, belum pulih sepenuhnya sekali gus menyukarkan hubungan luar dengan Vanuatu.

Selain itu, bekalan air turut terganggu dan operasi di pelabuhan utama ibu negara masih terhenti.

Kerajaan Vanuatu telah mengisytiharkan darurat selama tujuh hari dan melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam susulan gempa bumi pertama.

Pada Sabtu, larangan penerbangan komersial ditarik balik bagi memulihkan industri pelancongan yang menjadi sektor penting ekonomi negara itu.

Pasukan penyelamat dari Australia dan New Zealand telah mengerahkan lebih 100 anggota bersama peralatan, anjing pengesan dan bekalan bantuan untuk mencari mangsa yang berkemungkinan terperangkap.

Ketua Pasukan Penyelamat Australia, Douglas May berkata, usaha pencarian kini diperluaskan ke kawasan runtuhan di luar ibu negara.

“Kami telah menemukan beberapa lokasi runtuhan besar di timur dan barat Port Vila. Operasi kini tertumpu untuk mencari lebih ramai mangsa yang masih terperangkap,” katanya.

Vanuatu, yang didiami kira-kira 320,000 penduduk, terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik yang sering mengalami gempa bumi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya