WASHINGTON : Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang terkandas selama beberapa bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dijangka kekal berada di sana sehingga Mac, 2025.
Pengumuman itu dibuat oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) berhubung penundaan terkini misi membawa angkasawan pulang.
Angkasawan berpengalaman, Butch Wilmore dan Suni Williams, tiba di ISS pada Jun lalu, dengan menaiki kapal angkasa Starliner milik Boeing.
Asalnya mereka dijadualkan menjalankan misi selama lapan hari di makmal orbit tersebut, namun, masalah pada sistem pendorongan Starliner ketika penerbangan menyebabkan NASA mengambil keputusan untuk mengubah rancangan secara besar-besaran.
Setelah menjalankan ujian intensif ke atas Starliner, NASA memutuskan untuk menghantar kapal angkasa itu pulang ke bumi tanpa kru.
Sebaliknya, Wilmore dan Williams dirancang untuk pulang bersama angkasawan misi Crew-9 yang tiba di ISS pada penghujung September lalu, menggunakan kapal angkasa Dragon milik SpaceX.
Misi itu merangkumi dua tempat duduk kosong yang dikhaskan untuk Wilmore dan Williams dan mereka sepatutnya kembali ke bumi pada Februari, tahun depan.
Namun, dalam kenyataan terkini, NASA memaklumkan pelancaran misi Crew-10, yang akan menggantikan Crew-9 serta mengambil alih kedua-dua angkasawan terkandas, kini dijadualkan pada Mac 2025.
“Perubahan ini memberi masa kepada pasukan NASA dan SpaceX untuk menyiapkan pemprosesan kapal angkasa Dragon baharu bagi misi ini,” kata agensi itu dalam satu hantaran blog.
Penundaan ini bermakna Wilmore dan Williams akan menghabiskan lebih sembilan bulan di angkasa, jauh lebih lama daripada tempoh lapan hari yang dirancang pada awalnya.
NASA menegaskan tempoh tambahan di ISS adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kelancaran misi akan datang. -AGENSI