LONDON: Hampir 300 doktor, jururawat dan pekerja kesihatan di United Kingdom yang berdepan kesan dan komplikasi jangka panjang wabak Covid-19 (Long Covid) menyaman perkhidmatan kesihatan untuk mendapatkan pampasan.
Kumpulan itu mendakwa mereka tidak diberi perlindungan sewajarnya semasa wabak itu melanda.
Kumpulan itu berkata, hidup mereka musnah akibat pelbagai komplikasi kesihatan yang teruk, malah kebanyakannya tidak boleh kembali bekerja dan ramai yang terpaksa berkurung di rumah.
“Ini adalah perubahan hidup. Rakyat benar-benar menderita dari segi kewangan. Ada yang hidup dalam kemiskinan.
“Kami menyaman kerana ini adalah satu-satunya cara untuk melindungi masa depan kami,” kata jururawat, Rachel Hext.
Kakitangan kesihatan yang mengalami masalah Long Covid memberitahu Yayasan Thomson Reuters bahawa mereka merasa dikhianati oleh kerajaan selepas mempertaruhkan nyawa untuk bekerja di barisan hadapan semasa wabak itu.
Mereka turut membandingkan ucapan penghargaan kepada pekerja Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) yang diterima setiap minggu pada kemuncak krisis dengan kekurangan sokongan yang mereka terima sejak jatuh sakit.
“Ia seperti hero to zero. Kami diangkat pada satu saat ketika diperlukan tetapi kemudian ditinggalkan dan tak dipedulikan selepas itu,” katanya.
Ramai daripada mereka mengakui kini banyak berhutang atau terpaksa menggunakan simpanan untuk meneruskan hidup.
Mereka turut mendakwa tidak diberikan peralatan perlindungan diri yang mencukupi, termasuk topeng gred tinggi sebeliknya sering terpaksa bergantung kepada pelitup muka pembedahan yang nipis.
“Saya fikir kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk menang,” kata Peguamcara, Kevin Digby yang mewakili kebanyakan mereka.
Lebih 200 simptom dikaitkan dengan Long Covid, termasuk gangguan kognitif atau ‘kabus otak’, keletihan yang melampau, sesak nafas dan sakit kronik.
Tuntutan itu tidak mungkin didengar oleh Mahkamah Tinggi sebelum 2026 kerana siasatan awam berterusan Britain terhadap pengendalian krisis Covid-19 yang menyebabkan lebih 230,000 orang meninggal dunia.-REUTERS