DAMSYIK: Seorang lelaki Syria yang disangka sebagai banduan yang diselamatkan dalam laporan eksklusif oleh rangkaian berita Amerika Syarikat, CNN, rupa-rupanya adalah bekas pegawai perisikan rejim Bashar al-Assad.
Laporan tersebut, yang kononnya memaparkan detik-detik penemuan banduan tersembunyi di sebuah penjara rahsia di ibu negara Syria, mencetuskan kritikan meluas dan memaksa CNN menyemak semula dakwaannya.
Laporan asal itu yang disiarkan pada Khamis lalu, menunjukkan wartawan CNN, Clarissa Ward dan pasukannya, bersama seorang pejuang pembangkang, menemukan seorang lelaki yang mengaku sebagai ‘banduan awam’.
Bagaimanapun, platform pemeriksa fakta Syria, Verify Sy, mendedahkan lelaki tersebut sebenarnya ialah Salama Mohammad Salama, seorang bekas Leftenan Pertama dalam Perisikan Tentera Udara Syria yang terkenal dengan aktivitinya di Homs.
Kenyataan ini kemudian disahkan oleh siasatan dalaman CNN sendiri.
Salama mendakwa kepada CNN, dia telah ditahan selama tiga bulan selepas telefon bimbitnya diperiksa, sebelum dipindahkan ke sebuah fasiliti lain di Damsyik.
Namun, Verify Sy melaporkan penduduk setempat menyatakan Salama hanya dipenjarakan kurang sebulan atas tuduhan berkaitan pemerasan.
Laporan tersebut mencetuskan kritikan hebat dalam media sosial dengan ramai pengguna mempersoalkan laporan CNN, malah ada yang mendakwa insiden itu sengaja diatur oleh rangkaian berita tersebut.
Selepas pendedahan pada Isnin lalu, ramai mendesak CNN memohon maaf atas laporan asalnya.
“Ini adalah satu insiden yang sangat memalukan untuk CNN,” tulis seorang pengguna di platform X.
Insiden ini sekali lagi mencalarkan kredibiliti CNN, dengan ramai pemerhati menganggapnya sebagai kegagalan dalam mematuhi standard kewartawanan yang sepatutnya.
Rangkaian berita itu kini terpaksa berdepan tekanan untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap laporan kontroversi tersebut.-AGENSI