TAIPEI : Kementerian Pertahanan Taiwan mendedahkan China menggandakan jumlah kapal perangnya di sekitar pulau itu dalam tempoh 24 jam ketika jangkaan pusingan baharu latihan ketenteraan oleh Beijing.
Menurut laporan kementerian itu, sebanyak 14 kapal perang China dikesan beroperasi berhampiran Taiwan, meningkat berbanding lapan kapal yang dilaporkan sehari sebelumnya.
Tambahan pula, empat belon China dilaporkan terbang melintasi Selat Taiwan, termasuk satu yang dilaporkan menyeberang kawasan pulau itu.
Beijing terus menunjukkan ketegasan terhadap Taiwan, yang dianggap sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Lawatan Presiden Taiwan, Lai Ching-te, ke Hawaii dan wilayah Guam milik Amerika Syarikat baru-baru ini, dilihat mencetuskan kemarahan China.
Sebelum ini, China mengadakan dua siri latihan ketenteraan besar-besaran di sekitar Taiwan tahun ini, dan pusingan baharu latihan tersebut dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Dalam kenyataan tegas yang diterbitkan melalui akaun WeChat, Kementerian Keselamatan Negara China mengutuk usaha Lai untuk ‘mencari kemerdekaan melalui bantuan ketenteraan’ dan hubungan mesranya dengan AS.
“Tiada negara, organisasi atau individu yang boleh meremehkan tekad, kehendak dan kapasiti luar biasa Kerajaan dan rakyat China dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah negara,” menurut kenyataan itu.
China turut menyifatkan tindakan kerajaan Taiwan sebagai ‘pura-pura menunjukkan kekuatan’, manakala AS dituduh ‘bersekongkol dengan penjenayah’ dalam menyokong Taiwan.
Presiden Lai dan kerajaan Taiwan secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan Beijing ke atas pulau itu sambil menegaskan ia adalah negara demokrasi yang berdaulat dan bebas, berbeza daripada China.
Sehingga kini, Kementerian Pertahanan China belum memberikan sebarang maklum balas mengenai peningkatan kehadiran tentera lautnya di kawasan itu. -AGENSI