TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan pihaknya memerhatikan pergerakan kapal pengangkut pesawat China dan menilai rapat aktiviti ketenteraan negara itu.
Ini kerana, katanya, Beijing boleh melancarkan eksesais ketenteraan baharu hujung minggu ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Sun Li-Fang berkata, pihaknya mengetahui keberadaan kapal pengangkut pesawat China, tetapi tidak dapat memberikan butiran lanjut.
“Kementerian Pertahanan memandang serius situasi musuh dan menangani perkara ini dengan sangat serius. Kami mempunyai persiapan yang sangat mantap dan tidak takut dengan sebarang ancaman,” jelasnya.
China yang mendakwa mentadbir Taiwan secara demokratik sebagai wilayahnya sendiri, megadakan dua pusingan latihan perang dan tenteranya beroperasi berdekatan setiap hari, di sekitar pulau itu.
China menggelar Presiden Taiwan, Lai Ching-te sebagai ‘pemisah’ dan sumber memberitahu Reuters, pihaknya boleh melancarkan latihan baharu bertepatan dengan lawatannya ke negara Pasifik, minggu ini, termasuk lawatan ke Hawaii dan Guam.
Ditanya sama ada latihan ketenteraan China boleh dimulakan hujung minggu ini, memandangkan Lai kembali ke Taiwan pada Jumaat ini, Sun enggan mengulasnya.
“Kami mempunyai pertimbangan yang sangat teliti tentang situasi musuh dan terdapat banyak petunjuk yang kami gunakan untuk menangani situasi berkenaan,” katanya.
Kementerian Pertahanan China bagaimanapun enggan memberikan komen.
Kerajaan China seperti diketahui menzahirkan kemarahan terhadap Amerika Syarikat kerana membenarkan Lai melawat negara itu.
Lai menolak kedaulatan tuntutan China dan menegaskan mencari perdamaian dengan Beijing serta berulang kali menawarkan rundingan, tetapi ditolak.
Tiga sumber keselamatan yang berpangkalan di Taipei mendedahkan kemungkinan eksesais ketenteraan bermula hujung ini adalah sangat tinggi berdasarkan risikan terkini. -REUTERS