BEIJING: China mengambil langkah balas terhadap dua institusi Kanada serta 20 individu yang terlibat dalam isu hak asasi manusia berkaitan dengan Uighur dan Tibet.
Bagi kedua-dua institusi itu, Beijing berkata, pihaknya akan membekukan ‘harta alih, harta tidak alih dan jenis harta lain di dalam wilayah China’.
China membekukan harta milik 15 individu dari institusi Uighur dan lima daripada jawatankuasa Tibet, serta melarang mereka memasuki negara itu, termasuk Hong Kong dan Macau.
Menurut Kementerian Luar China, langkah yang berkuat kuasa sejak Sabtu itu, termasuk pembekuan aset serta larangan kemasukan, menyasarkan Projek Advokasi Hak Uighur Kanada dan Jawatankuasa Kanada-Tibet.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh Beijing melakukan pelanggaran meluas terhadap Uighur, minoriti etnik Islam berjumlah 10 juta orang di wilayah barat Xinjiang, termasuk penggunaan buruh paksa secara besar-besaran di kem.
Beijing menafikan sebarang pelanggaran hak asasi manusia tersebut.
China menguasai Tibet pada 1950, yang disifatkan sebagai ‘pembebasan secara aman’ daripada perhambaan feudalistik.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa dan orang buangan, konsisten mengutuk tindakan yang digelar pemerintahan penindasan China di kawasan Tibet.
Menurut Reuters, pihaknya tidak menerima respons segera daripada kedutaan Kanada di Beijing, termasuk kumpulan kumpulan hak asasi manusia atau Hal Ehwal Global Kanada.- REUTERS