NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UnitedHealthcare, Brian Thompson ditembak mati oleh seorang lelaki bertopeng di depan sebuah hotel di New York.
Insiden berlaku sekitar pukul 7 pagi di hotel yang terletak di daerah Midtown, Manhattan.
Suspek dipercayai menyasarkan dan menembak mangsa dengan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri dengan basikal sewa ke arah Central Park.
Ketua Detektif, Joseph Kenny berkata, penyerang tiba di lokasi serangan dengan berjalan kaki, kira-kira lima minit lebih awal sebelum mangsa tiba.
Katanya, ketika itu, orang ramai sedang lalu lalang di pintu akses ke Hotel Hilton.
“Suspek lelaki mengekori Thompson dari belakang sebelum melepaskan tembakan.
“Penyerang sempat membaiki senjata yang tersangkut dan kemudian melepaskan tembakan semula.
“Motif pembunuhan belum diketahui. Namun, berdasarkan bukti yang kami terima menunjukkan mangsa memang menjadi sasaran khusus,” katanya.
Kenny berkata, mangsa ditembak ketika dalam perjalanan untuk memberikan taklimat kepada pelabur.
Susulan itu, pihak polis menawarkan ganjaran AS$10,000 (RM46,000) bagi sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek.
Pihak polis turut mengeluarkan imej kamera keselamatan yang menunjukan pembunuh itu memegang pistol sambil memakai selubung kepala.
Operasi memburu suspek giat dijalankan di seluruh bandar itu.
UnitedHealthcare adalah pemain utama dalam pasaran penjagaan kesihatan AS bernilai berbilion dolar, menyediakan insurans tempat kerja serta menguruskan program penjagaan kesihatan besar seperti Medicare dan Medicaid untuk warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang dibiayai belanjawan negeri. -AFP