BERLIN: Canselor Jerman, Olaf Scholz gagal memperoleh sokongan dalam undi percaya di Parlimen, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya awal yang dijadualkan pada 23 Februari depan.
Scholz sengaja memanggil undi percaya pada Isnin, walaupun sudah menjangka kehilangan sokongan, dengan harapan pilihan raya awal dapat menjadi peluang untuk memulihkan sokongan terhadap partinya.
Ia berlaku kira-kira dua bulan selepas kejatuhan kerajaan gabungan tiga parti yang dipimpin Scholz, menyebabkan beliau menerajui pentadbiran minoriti.
Menjelang undian itu, Scholz berkata, kini terpulang kepada pengundi untuk menentukan perjalanan politik negara, sekali gus menjanjikan kempen pilihan raya yang dijangka sengit.
Kekalahan dalam undi percaya adalah keputusan yang memang dikehendaki oleh Scholz.
Dengan kekalahan itu, pilihan raya kini boleh diadakan pada Februari, berbanding September seperti jadual asal.
Seramai 207 ahli Parlimen kebanyakan daripada partinya, mengundi menyokong Scholz, manakala 394 mengundi menentang dan 116 berkecuali.
Sejak kejatuhan kerajaan gabungan tiga parti yang dipimpinnya pada November, Scholz bergantung kepada sokongan konservatif pembangkang untuk meluluskan sebarang undang-undang baharu, menjadikan pentadbirannya seperti ‘kerajaan yang pincang’.
Memandangkan ekonomi Jerman terbantut dan krisis global yang dihadapi Barat, meneruskan pentadbiran hingga tarikh pilihan raya asal pada September 2025 berisiko dilihat sebagai tidak bertanggungjawab oleh pengundi.
Parti Demokratik Sosial (SDP) pimpinan Scholz ketinggalan jauh dalam tinjauan pendapat, manakala Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) di bawah Friedrich Merz kelihatan bersedia untuk kembali mentadbir kerajaan.
Semasa membuka perbahasan sebelum undian kelmarin, Scholz menyatakan pilihan raya mengejut adalah peluang untuk menetapkan haluan baharu negara dan menyeru pelaburan besar-besaran, terutama dalam pertahanan.
Bagaimanapun, Merz pula menegaskan peningkatan hutang akan menjadi beban kepada generasi muda dan berjanji untuk melaksanakan pemotongan cukai.– BBC