LONDON: Britain mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai 225 juta pound (RM1.31 bilion) untuk Ukraine pada tahun hadapan, termasuk dron, bot, dan sistem pertahanan udara.
Langkah tersebut dibuat selepas Menteri Pertahanan Britain, John Healey, melawat Kyiv bagi mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Rustem Umerov, dan berikrar untuk meningkatkan sokongan kepada Ukraine pada 2025.
“Tiga tahun selepas Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, kesilapan besar beliau semakin jelas apabila rakyat Ukraine yang berani terus menongkah arus dengan semangat mereka yang tidak tergugat,” kata Healey.
Pada Julai lalu, kerajaan baharu pimpinan Parti Buruh berikrar untuk memperuntukkan 3 bilion pound (RM 17 bilion) setahun dalam bantuan ketenteraan kepada Ukraine sehingga tahun 2030-2031.
Pakej baharu tersebut merangkumi 92 juta pound (RM 521 juta) untuk kelengkapan memperkukuhkan tentera laut Ukraine termasuk bot kecil, dron peninjau, dan kenderaan permukaan tanpa pemandu.
Selain itu, 68 juta pound (RM 385 juta) akan digunakan bagi kelengkapan pertahanan udara seperti radar, manakala 39 juta pound (RM 221 juta) diperuntukkan untuk membekalkan 1,000 sistem peperangan elektronik anti-dron kepada tentera Ukraine.
Healey turut memaklumkan Britain akan meningkatkan program latihan untuk tentera Ukraine yang dijalankan bersama sekutu utama di tanah Britain, dikenali sebagai Operasi Interflex.
Sejak pertengahan 2022, program itu telah melatih seramai 51,000 rekrut.
Umerov turut mengucapkan terima kasih kepada Britain atas sokongan yang berterusan, sambil menyatakan penghantaran peluru, khususnya untuk artileri, adalah kritikal dalam usaha pertahanan Ukraine.
Kedua-dua pemimpin turut mengkaji keberkesanan peluru berpandu Storm Shadow yang digunakan Ukraine, namun butiran lanjut tidak didedahkan.
November lalu, Britain memberikan lampu hijau kepada Kyiv untuk menggunakan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan terhadap sasaran di dalam Russia. -AGENSI