BRASILIA: Senat Brazil meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk melarang penggunaan telefon bimbit di semua sekolah di negara ini, pada Rabu.
RUU itu kini hanya menunggu tandatangan Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
RUU itu melarang penggunaan telefon bimbit di dalam kelas dan ketika waktu rehat, yang bertujuan mengurangkan kesan negatif peranti tersebut terhadap pembelajaran kanak-kanak dan remaja.
Larangan itu terpakai kepada semua sekolah, sama ada institusi swasta atau awam. Namun, pengecualian diberikan untuk aktiviti pembelajaran yang memerlukan penggunaan telefon bimbit dengan kebenaran guru.
“Kesan penggunaan berlebihan telefon bimbit dan media sosial oleh kanak-kanak dan remaja bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, tetapi juga membawa kepada isu kesihatan mental seperti keresahan,” kata penaja RUU itu, Senator Alessandro Vieira.
RUU tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat Brazil minggu lalu, dan Senat meluluskan tanpa sebarang pindaan.
Pentadbiran Presiden Lula menyokong RUU berkenaan dan beliau dijangka menandatanganinya dalam masa terdekat.
Terdahulu, menerusi sebuah tinjauan yang dijalankan oleh Institut Locomotiva dan QuestionPro mendapati sebanyak 80 peratus menyokong larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah.
Negeri Sao Paulo, yang menguatkuasakan larangan lebih ketat 12 hari lalu, turut melarang penggunaan telefon bimbit semasa aktiviti kokurikulum oleh pelajar sekolah.-AGENSI