LONDON: Bapa dan ibu tiri kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang ditemukan mati di rumahnya di Britain, masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 40 dan 33 tahun selepas disabitkan bersalah atas tuduhan membunuh.
Perbicaraan di mahkamah mendedahkan butiran menyayat hati tentang penderaan berterusan yang dialami mangsa, Sara Sharif, sebelum ditemukan meninggal dunia pada Ogos 2023 di kediamannya di Woking, barat daya London.
Pendakwa raya berkata, mangsa telah mengalami penderaan melampau termasuk kesan melecur, beberapa tulang patah serta kesan gigitan pada tubuhnya.
Selepas kejadian tragis itu, keluarga terbabit melarikan diri ke Pakistan sebelum ditahan di Lapangan Terbang Gatwick, London pada September 2023 selepas pulang dari Dubai.
Bapa mangsa, Urfan Sharif, 43, dan isterinya, Beinash Batool, 30, didakwa di Mahkamah Old Bailey atas tuduhan membunuh namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Bagaimanapun, juri pada minggu lalu, mendapati kedua-duanya bersalah membunuh Sara.
Dalam kes sama, bapa saudara mangsa, Faisal Malik, 29, didapati tidak bersalah atas tuduhan membunuh tetapi disabitkan bersalah kerana menyebabkan atau membenarkan kematian kanak-kanak itu berlaku.
Ketika hukuman dijatuhkan, mahkamah mendengar kenyataan ibu kandung Sara, Olga Domin, yang menggelar kedua-dua tertuduh sebagai ‘pembunuh kejam’.
Hakim John Cavanagh menjatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun kepada Sharif dan 33 tahun kepada Batool, manakala Malik dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun.
Kes tersebut meninggalkan kesan mendalam terhadap para juri dan masyarakat, memperlihatkan kezaliman yang tiada batas terhadap seorang kanak-kanak tidak berdosa.-AGENSI