Bangladesh gesa India ekstradisi Sheikh Hasina - Utusan Malaysia

Bangladesh gesa India ekstradisi Sheikh Hasina

SHEIKH HASINA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Kerajaan sementara Bangladesh mengemukakan permintaan rasmi kepada India untuk mengekstradisi bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke New Delhi, Ogos lalu. 

Pemangku Ketua Kementerian Luar Bangladesh, Touhid Hossain berkata, Hasina perlu dihantar pulang bagi menghadapi proses perundangan di mahkamah. 

“Kami telah menghantar nota rasmi kepada Kerajaan India, menyatakan Kerajaan Bangladesh mahu beliau (Hasina) kembali ke negara ini untuk proses perundangan,” kata Hossain merujuk kepada bentuk komunikasi diplomatik antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, Hossain tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai proses perundangan tersebut.

Jurucakap rasmi Kementerian Hal Ehwal Luar India mengesahkan menerima permintaan itu tetapi enggan memberikan sebarang komen.

Dua negara serantau yang mempunyai hubungan dagangan dan budaya erat itu menjadi tegang sejak Hasina digulingkan akibat protes ganas terhadap pemerintahannya, sebelum beliau melarikan diri ke India.

Ketua Kerajaan Sementara Bangladesh, Muhammad Yunus mendesak India agar menghantar pulang Hasina untuk dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan jenayah terhadap penunjuk perasaan dan pihak lawan, selain tuduhan semasa pemerintahannya selama 15 tahun.

Yunus turut tidak berpuas hati dengan kritikan Hasina terhadap pentadbirannya dari New Delhi.

Hasina kini berdepan tuduhan berat termasuk jenayah terhadap kemanusiaan, genosid dan pembunuhan.

Bagaimanapun, kesemua pertuduhan itu dinafikan oleh pemimpin wanita tersebut. 

Selepas kejatuhan Hasina Ogos lalu, puluhan sekutunya turut ditahan atas dakwaan terlibat dalam tindakan ganas polis yang mengorbankan lebih 750 nyawa. 

Kebanyakan mangsa adalah golongan belia, semasa protes yang membawa kepada penggulingannya.

Hasina juga menyeru agar siasatan dijalankan terhadap pembunuhan tersebut, dengan mendakwa kemungkinan terdapat pihak lain yang terlibat selain pasukan keselamatan.

Mahkamah Tribunal Jenayah Antarabangsa yang berpusat di Dhaka mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasina dan sekutunya, sementara kerajaan turut meminta bantuan Interpol untuk menangkapnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya