BANGKOK: Ibu negara Thailand, Bangkok dinobatkan sebagai bandar paling dikunjungi di dunia bagi 2024, selepas menerima kunjungan sebanyak 32.4 juta pelancong antarabangsa.
Pengumuman dibuat menerusi laporan Euromonitor International yang dikeluarkan pada 6 Disember lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Bangkok sebagai destinasi pelancongan utama global.
Menurut laporan tersebut, Bangkok mencatat pertumbuhan luar biasa melebihi 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan daya tarikan utamanya termasuk budaya yang kaya serta kos sara hidup yang berpatutan.
Dasar visa mesra pelancong yang diperkenalkan Thailand turut menjadi faktor utama kejayaan ini.
Antara dasar tersebut adalah pengecualian visa selama 60 hari untuk warganegara dari 93 buah negara, serta perluasan program visa semasa ketibaan yang memudahkan pelancong untuk berkunjung dan meneroka bandar ini.
Selepas Bangkok, Istanbul berada di tempat kedua dengan 23 juta pelancong, diikuti London yang menerima 21.7 juta pengunjung.
Antara bandar lain dalam senarai 10 teratas termasuk Hong Kong (20.5 juta), Mekah dan Antalya (masing-masing 19.3 juta), Dubai (18.2 juta), Macau (18 juta), Paris (17.4 juta) dan Kuala Lumpur yang mencatat 16.5 juta pelawat.
Kejayaan Bangkok ini menyerlahkan reputasinya sebagai destinasi bertaraf dunia dengan kemampuan bandar ini menarik jumlah pelancong yang begitu besar mencerminkan kepentingannya di peringkat global.
Suasana mesra dan keramahan penduduk Bangkok menjadikan ia pilihan abadi dalam kalangan pengembara.
Dengan warisan budaya yang kaya serta kemudahan moden, bandar ini menawarkan kombinasi unik yang terus memikat pelawat baharu, mahupun mereka yang kembali untuk menikmati daya tarikannya. -AGENSI