MANILA : Seorang wanita yang hampir 15 tahun menanti hukuman mati di Indonesia dijangka pulang ke Filipina malam ini selepas rundingan antara Manila dan Jakarta mencapai kata sepakat.
Keputusan untuk membenarkan Mary Jane Veloso, 39, pulang ke tanah airnya dianggap sebagai satu ‘keajaiban’.
“Hampir 15 tahun saya terpisah dengan anak-anak dan ibu bapa. Saya tidak dapat melihat anak-anak saya membesar,” katanya kepada Associated Press.
Wanita itu dijatuhkan hukuman mati pada 2010 selepas didapati bersalah menyeludup dadah.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan apabila diperdaya membawa beg yang mengandungi dadah ke luar negara untuk bekerja.
Kisah Veloso mencetuskan simpati meluas di Filipina dan Indonesia, terutama dalam kalangan rakyat yang turut memahami nasib seorang ibu tunggal yang merantau ke luar negara demi masa depan anak-anaknya.
Veloso dipindahkan dari penjara Yogyakarta ke penjara khas wanita di Jakarta, Ahad lalu.
Dia dijadualkan berlepas ke Manila pada tengah malam ini dan dijangka tiba sekitar pukul 5.40 pagi (waktu tempatan) pada Rabu, menurut peguamnya, Edre Olalia dari Kesatuan Peguam Rakyat Kebangsaan (NUPL).
Kisah Veloso menarik perhatian antarabangsa sejak dia hampir dikenakan hukuman tembak pada 2015.
Namun, dia diberikan penangguhan pada saat-saat akhir selepas Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino, merayu kepada kerajaan Indonesia untuk membenarkan Veloso memberi keterangan dalam kes berasingan melibatkan perekrutnya.
Indonesia menyatakan perjanjian dengan Filipina itu bersifat ‘timbal balik’ dan meminta Manila mempertimbangkan permohonan masa depan bagi repatriasi rakyat Indonesia yang dipenjara di Filipina.
Veloso bagaimanapun akan diharamkan memasuki Indonesia pada masa hadapan. -AGENSI