Mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (FFAP61), Azira Syafinaz, membuktikan bahawa perjalanannya menongkah arus perdana dalam industri seni bukan satu langkah yang sia-sia.
Hampir 12 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni meski perlu membahagi minat dan masa sebagai penyanyi, Azira mengakui pentas lakonan bukan sekadar hobi buatnya.
Tidak wujud frasa ‘mahu bermain-main’, wanita berusia 33 tahun ini serius menjadikan lakonan sebagai cabang kerjaya dan trofi yang dimenangi menjadi saksi terhadap cintanya dalam dunia seni ini.
“Mungkin ada yang tidak tahu bahawa minat saya dalam bidang seni ini nombor satunya adalah pada seni lakon. Daripada dulu lagi sebelum saya menyanyi dengan kumpulan De Fam, saya memang sudah simpan hasrat nak jadi seorang pelakon.
“Tetapi arus perjalanan membawa saya naik dengan De Fam. Tetapi saya gunakan peluang itu untuk menggerakkan juga kerjaya seni secara solo.
“Alhamdulillah, saya rasa penat lelah saya itu berbayar. Tetapi saya harap sangat ia tidak terhenti di situ. Saya harap akan ada banyak lagi peluang lain untuk saya mengembangkan bakat ini,”katanya.
Mengakui terharu ketika menerima trofi di FFAP61 yang berlangsung di Genting Highlands baru-baru ini, Azira juga berbangga kerana ia merupakan anugerah kedua diterimanya selepas dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Watak Komedi), Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023).
Sekali pandang, ternyata menerusi dua anugerah itu dapat dikatakan bakatnya itu seakan lebih dihargai di peringkat luar berbanding anugerah dalam negara.
Tidak menolak bahawa angan dan idamnya selama ini adalah untuk membawa pulang trofi Festival Filem Malaysia (FFM), Azira bagaimanapun akur dengan rezeki yang masih belum berpihak kepadanya.
“Sudah tentu lebih berbaloi jika bakat diiktiraf di luar negara. Namun, saya memang teringin untuk menang trofi Festival Filem Malaysia (FFM) yang berprestij,”katanya.
Ditanya sama ada kemenangan itu bakal menyuntik tekanan buatnya dalam menepati ekspektasi penonton dan pengkarya seni sendiri, kata Azira perkara itu semestinya sukar untuk dielakkan.
“Tentu, mungkin tekanan itu akan ada dari segi cara lakon saya, maksudnya apa lagi yang boleh saya buat selepas ini bukan. Tetapi macam saya pernah cakap sebelum ini, saya tak pernah rasa puas atau mahu berhenti setakat ini.
“Saya rasa masih banyak lagi benda hendak dipelajari. Setiap kali berlakon, saya banyak belajar dengan orang-orang baharu kerana daripada situ ia membantu saya sebagai seorang pelakon.
“Saya cuma tak sangka yang diri ini selalu diiktiraf di luar, bukan di Malaysia. Di sini saya rasa perlu juga berbangga dengan diri sendiri,”katanya berseloroh.
Dalam pada itu, pelakon filem Indera dan Sheriff: Narko Integriti ini juga tidak segan memberitahu bahawa dirinya sudah lama menyimpan hasrat untuk mengintai peluang ke Indonesia dalam bidang lakonan.
“Saya teringin sangat nak masuk lapangan seni lakon di Indonesia. Buat masa sekarang, ada sahaja tawaran itu, tetapi kalau semuanya berlaku sebagaimana dirancang, maka ya saya akan ke sana.
“Pada masa yang sama, kalau nak kata saya ini selektif, saya memang begitu sejak dari dulu. Sebabnya, saya selalu utamakan De Fam. Jadi saya selalu pilih karakter yang dirasakan sesuai dengan saya,”katanya.