WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyambut baik keputusan Israel untuk melanjutkan tempoh setahun bagi mengekalkan hubungan kewangan dengan bank-bank Palestin.
Perkembangan itu berlaku selepas ancaman Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich untuk memutuskan hubungan tersebut ketika perang di Gaza.
Sebelum ini, AS mendesak Israel untuk mengekalkan pengecualian itu, yang membolehkan bank Israel bekerjasama dengan bank Palestin, kerana bimbang Tebing Barat yang agak stabil akan berdepan kekacauan ekonomi.
Jabatan Negara dan Perbendaharaan dalam kenyataan bersama berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan yang diambil pada mesyuarat Kabinet keselamatan Israel, Khamis lalu.
“Kestabilan ekonomi di Tebing Barat adalah penting untuk keselamatan Israel dan Palestin, serta perbankan koresponden merupakan tunggak utama kestabilan ekonomi tersebut.
“AS menghargai kerjasama berterusan dengan kerajaan Israel dan Pihak Berkuasa Kewangan Palestin mengenai perkara ini,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Smotrich mengancam untuk menamatkan pengecualian tersebut sebagai tindak balas terhadap pengiktirafan negara Palestin oleh tiga negara Eropah.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen memberi amaran memutuskan hubungan dengan bank Palestin akan mencetuskan krisis kemanusiaan.
Beliau turut menyuarakan kekecewaan pada Oktober lalu, apabila Israel hanya meluluskan lanjutan 30 hari.– AFP