WASHINGTON : Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan cadangan penjualan alat ganti jet pejuang F-16 dan radar kepada Taiwan yang dianggarkan bernilai AS$385 juta (RM1.78 bilion), menurut Pentagon.
Perkembangan itu berlaku sehari sebelum Presiden Taiwan, Lai Ching-te memulakan lawatan sensitif ke negara-negara Pasifik.
Meskipun tiada hubungan diplomatik rasmi antara Washington dan Taipei, undang-undang AS mewajibkan bantuan kepada Taiwan, yang dituntut oleh China, bagi memastikan pulau itu mampu mempertahankan diri.
Langkah ini sentiasa mengundang kemarahan Beijing kerana Taiwan yang ditadbir secara demokratik, tegas menolak tuntutan kedaulatan China.
Dalam masa sama, Beijing terus meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan termasuk mengadakan dua siri latihan perang tahun ini.
Sumber keselamatan memberitahu Reuters China mungkin mengadakan latihan tambahan yang dijangka bertembung dengan jadual lawatan Lai ke Pasifik, termasuk persinggahan di Hawaii dan Guam, wilayah milik Amerika Syarikat.
Menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Pentagon, pakej jualan itu melibatkan alat ganti dan sokongan untuk jet F-16 serta radar Active Electronically Scanned Array (AESA) bernilai AS$320 juta (RM1.48 bilion).
Selain itu, Jabatan Negara turut meluluskan penjualan peralatan komunikasi mudah alih yang dinaik taraf bersama sokongan bernilai AS$65 juta (RM301 juta) kepada Taiwan.
Kementerian Pertahanan Taiwan menjelaskan, penjualan tersebut dijangka dikuatkuasakan dalam tempoh sebulan dan akan membantu mengekalkan kesiapsiagaan jet F-16 serta membina kekuatan pertahanan yang kukuh.
“Taiwan dan AS akan terus memperkukuh kerjasama keselamatan bagi mengekalkan keamanan serta kestabilan di Selat Taiwan dan rantau Indo-Pasifik,” menurut kenyataan kementerian itu.
Bulan lalu, AS mengumumkan pakej jualan senjata bernilai AS$2 bilion (RM9.2 bilion) kepada Taiwan, termasuk penghantaran sistem pertahanan udara canggih yang pernah digunakan di Ukraine. –AGENSI