WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggesa semua negara menggunakan pengaruh mereka untuk mengurangkan ketegangan di Syria berikutan serangan mengejut kumpulan pemberontak yang disokong Turkiye.
Puak bersekutu Hayat Tahrir al-Sham (HTS) melancarkan serangan kilat minggu lalu dari barat laut Syria berhampiran sempadan Turkiye, merampas sebahagian besar wilayah daripada kawalan kerajaan, termasuk bandar kedua Syria di Aleppo.
PERGOLAKAN ANTARA SEKUTU
Kelmarin, kumpulan yang disokong Turkiye itu melancarkan serangan ke atas kawasan strategik Tal Rifaat yang dikuasai Kurdish.
“Kami mahu melihat semua negara menggunakan pengaruh mereka untuk mendesak usaha mengurangkan ketegangan, perlindungan orang awam dan akhirnya, proses politik ke hadapan,” kata jurucakap jabatan negara Matthew Miller kepada pemberita.
Ditanya sama ada AS menghantar mesej kepada Turkiye untuk melindungi penduduk Kurdish, Miller menegaskan, Washington akan terus menjelaskan kepada setiap pihak dan semua negara yang terlibat dengan pihak di dalam Syria bahawa mereka melakukan segala yang mungkin untuk melindungi orang awam.
Semasa kemuncak perang, AS berkata, Presiden Syria, Bashar Al-Assad yang disokong oleh Iran dan Russia, telah kehilangan legitimasi tetapi mendakwa ia bukan keutamaan untuk menyingkirkannya, melihatkan ketiadaan alternatif yang lebih baik dalam kalangan pemberontak.
“Tiada apa-apa yang berubah berkenaan dengan dasar kami. Assad adalah seorang diktator yang kejam dengan darah di tangannya.
“Organisasi yang melancarkan serangan ini pada hujung minggu lalu adalah organisasi pengganas yang ditetapkan oleh AS. Kami pastinya tidak menyokong organisasi itu dalam apa jua cara atau bentuk,” kata Miller
Washington mengekalkan kira-kira 900 tentera AS di Syria untuk memerangi kumpulan militant Daesh dan menjalin pakatan dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish.
Bagaimanapun, Turkiye mengaitkan SDF dengan militan Kurdish yang bertempur di dalam sempadannya sendiri.
Presiden terpilih, Donald Trump dalam penggal terakhirnya mengarahkan pengunduran tentera AS selepas rayuan daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan tetapi menari balik keputusan itu selepas perbincangan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
KELEBIHAN KEPADA TURKIYE
Pemerhati berpendapat, Turkiye bakal menjadi ‘pemenang besar’ daripada krisis terbaharu di Syria, memberikannya peluang untuk menangani masalah pelarian dan ancaman Kurdish di sepanjang sempadannya.
Pakar di Institut Asia Barat Washington, Charles Lister berkata, serangan di Aleppo pada mulanya dirancang pada pertengahan Oktober tetapi Turkiye menghentikannya.
Walaupun Assad menolak tawaran bantuan daripada rakan sejawatannya dari Turkiye, Ankara kini nampaknya mempunyai peranan yang semakin penting dalam membuat keputusan yang akan menjejaskan masa depan Syria.
Penyelidik bersekutu Majlis Atlantik di Ankara, Omer Ozkizilcik berkata, Turkiye mempunyai hubungan yang rumit dan sukar dengan HTS, pakatan pemberontak yang mengetuai serangan minggu lalu.
“Kami boleh mengatakan dengan jelas terdapat sokongan Turkiye secara tidak langsung dalam serangan itu walaupun tiada penglibatan Turkiye secara langsung.
“Hanya selepas usaha Ankara untuk menormalkan hubungan dengan kerajaan Assad ditolak kerana ia mendesak penyelesaian politik, barulah Turkiye memberi lampu hijau,” kata Ozkizilcik.
Jelas beliau, Turkiye telah menolak pengembangan HTS ke dalam zon keselamatan di barat laut Syria yang dibentuk untuk dirinya sendiri, malah memberi tekanan kepada kumpulan radikal itu untuk menggugurkan gabungan Al-Qaeda.
Ia juga mendesak kumpulan itu untuk mengelak daripada menyerang minoriti Kristian dan Druze.
“HTS hari ini tidak seperti pada 2020,” kata Ozkizilcik.
Walaupun Turkiye mempunyai sedikit pengaruh ke atas kumpulan itu, Firas Kontar, yang berasal dari Druze Syria dan pengarang buku Syria, the Impossible Revolution percaya, Erdogan tidak lagi mempunyai cara untuk menghentikan HTS.
Ankara dan Damsyik memutuskan hubungan pada 2011 apabila perang bermula dengan Erdogan menyokong pemberontak.
Walau bagaimanapun, sejak akhir 2022 pemimpin Turkiye itu telah mencari penyesuaian, dengan mengatakan beliau bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Assad pada bila-bila masa.
Tetapi Assad menegaskan hanya akan bertemu jika tentera Turkiye berundur dari Syria.
Ankara berharap penyatuan itu akan membuka jalan untuk mengembalikan 3.2 juta pelarian Syria yang masih berada di tanah airnya selepas kebanjiran mereka didakwa mencetus isu domestik utama.
“Kini dengan keadaan yang berubah di lapangan, imbangan kuasa di Syria telah beralih. Turkiye adalah pelakon paling berkuasa pada masa ini di dalam Syria sementara Iran dan Russia mungkin akan cuba berunding dengan Turkiye,” kata Ozkizilcik.-AFP