WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden buat kali pertama secara terbuka mengaku telah mengadakan perbincangan dengan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan pembangkang Syria yang mengetuai serangan kilat sehingga menggulingkan Presiden, Bashar al-Assad.
Pengakuan tersebut diumumkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dalam sidang akhbar di Aqaba, Jordan, pada Sabtu.
“Ya, kami telah berhubung dengan HTS dan pihak-pihak lain,” kata Blinken ketika menjawab soalan wartawan.
Beliau menjelaskan perbincangan itu berkait dengan matlamat AS untuk membantu proses peralihan politik Syria.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah usaha mencari wartawan bebas warganegara AS, Austin Tice, yang hilang di Syria sejak 2012.
Menurut Blinken, AS juga menyampaikan prinsip-prinsip utama yang dibincangkan bersama PBB, Kesatuan Eropah (EU), Turkiye, dan lapan negara Liga Arab bagi mencapai proses peralihan kerajaan yang damai.
HTS diisytiharkan sebagai organisasi ‘pengganas asing’ oleh Jabatan Negara AS pada 2018 kerana kaitannya dengan al-Qaeda melalui Front al-Nusra.
Bagaimanapun, pemimpinnya, Abu Mohammed al-Julani pada 2016 menyatakan kumpulan itu tidak lagi mempunyai hubungan dengan mana-mana entiti luar.
Walaupun begitu, pakar menjangka sekatan terhadap HTS tidak akan ditarik balik dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Blinken menegaskan AS mempunyai kepentingan untuk kekal terlibat dalam membantu rakyat Syria mencapai kerajaan yang inklusif serta menghormati hak minoriti.
“Apa yang berlaku di Syria boleh memberi kesan besar di luar sempadannya, daripada penghijrahan besar-besaran hingga keganasan,” katanya.-AGENSI