AS akan kekal di Syria, fokus perangi Daesh - Utusan Malaysia

AS akan kekal di Syria, fokus perangi Daesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) akan terus berada di Syria selepas kejatuhan Presiden, Bashar al-Assad bagi melaksanakan misi memerangi keganasan dengan fokus menghancurkan kumpulan militan Daesh.

Timbalan Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jon Finer berkata, pasukan AS sudah berada di Syria selama hampir sedekad untuk memerangi Daesh dan misi itu kekal sebagai komitmen Washington.

Pada 2014, Daesh berjaya menawan sebahagian besar wilayah Syria dan Iraq, sebelum dikalahkan oleh gabungan yang diketuai AS pada 2019.

“Tentera kami berada di sana untuk alasan yang sangat khusus dan penting, bukan sebagai alat tawar-menawar,” katanya dalam temu bual sempena persidangan Reuters NEXT di New York.

Ahad lalu, kumpulan pejuang Syria tanpa sebarang tentangan berjaya menawan ibu negara, Damsyik, selepas serangan kilat sehingga menyebabkan Assad melarikan diri ke Russia.

Kejayaan itu menamatkan perang saudara selama 13 tahun dan lebih lima dekad pemerintahan autokratik keluarganya.

Bagaimanapun, Washington melihat kehadiran tenteranya di Syria sebagai langkah mencegah ketidakstabilan masa depan, walaupun masih tidak jelas bagaimana pemimpin baharu Syria akan menerima kehadiran tentera AS.

Washington juga masih mengklasifikasikan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan pejuang utama yang menggulingkan Assad sebagai organisasi pengganas.

“Tiada perubahan dasar rasmi terhadap kumpulan tersebut dan penetapan ini dibuat berdasarkan tindakan mereka, bukan pada apa yang mereka katakan atau niat mereka,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan beberapa kenyataan kumpulan itu dalam beberapa minggu terakhir sebagai ‘konstruktif’, namun menegaskan Washington akan terus memantau sama ada kenyataan itu diikuti dengan tindakan untuk membentuk pentadbiran Syria yang inklusif dan kredibel.

Finer turut memaklumkan pentadbiran Presiden, Joe Biden sedang berhubung dengan pasukan peralihan Presiden baharu, Donald Trump, untuk memberikan maklumat terkini mengenai situasi di Syria.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya