Angka korban Taufan Chido terus meningkat - Utusan Malaysia

Angka korban Taufan Chido terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Angka korban akibat Taufan Chido terus meningkat dengan pihak berkuasa mengesahkan 45 kematian di Mozambique dan 13 lagi di Malawi.

Situasi di Kepulauan Mayotte, wilayah luar negara Perancis, masih tidak jelas, namun pegawai sebelum ini menyatakan kebimbangan mengenai ratusan malah ribuan nyawa mungkin terkorban di kawasan setinggan yang musnah.

Setakat ini, 22 kematian dan 1,500 kecederaan dilaporkan di Mayotte, termasuk 200 kes kritikal.

Taufan Chido berpunca akibat perubahan iklim, melanda Mayotte dengan kelajuan angin sehingga 225 kilometer sejam pada Sabtu, sebelum melintasi utara Mozambique dan Malawi.

Menurut Institut Pengurusan Risiko dan Bencana Mozambique, hampir 500 orang cedera di negara itu, manakala 24,000 rumah musnah.

Di Mayotte, sistem bekalan air dilaporkan hanya berfungsi pada tahap 50 peratus dengan risiko pencemaran air yang tinggi.

Menteri Perancis bagi Hal Ehwal Wilayah Luar Negara, François-Noël Buffet berkata kepada stesen radio Europe 1, pihak berkuasa telah mula mengedarkan 23 tan bekalan air bersih.

Hospital lapangan dijangka beroperasi minggu depan selepas hospital utama di Mayotte tidak boleh digunakan akibat taufan itu.

Mayotte, yang merupakan wilayah termiskin di Perancis, mempunyai populasi rasmi seramai 320,000 orang.

Bagaimanapun, dianggarkan terdapat 200,000 pendatang tanpa dokumen, kebanyakannya dari Pulau Comoros, yang tinggal di kawasan setinggan yang padat dan serba daif.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dijadualkan melawat Mayotte pada Khamis, termasuk ke kawasan perumahan yang musnah dan hospital yang terjejas. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya