Albania haramkan TikTok selama setahun - Utusan Malaysia

Albania haramkan TikTok selama setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIRANA : Albania mengumumkan larangan penggunaan aplikasi TikTok selama setahun di seluruh negara, bermula awal tahun depan. 

Tindakan itu susulan insiden pembunuhan seorang remaja lelaki bulan lalu, yang menimbulkan kebimbangan terhadap pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak.

Perdana Menteri, Edi Rama berkata, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan di sekolah selepas pertemuan dengan kumpulan ibu bapa dan guru di seluruh negara.

“Selama setahun, kami akan menutup sepenuhnya akses kepada TikTok. Tiada TikTok di Albania,” tegas Rama.

Larangan itu menyusuli langkah beberapa negara Eropah seperti Perancis, Jerman, dan Belgium yang mengetatkan kawalan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak. 

Kerajaan Albania menyalahkan media sosial, khususnya TikTok, kerana didakwa menjadi punca peningkatan keganasan dalam kalangan remaja di dalam dan luar sekolah.

Langkah itu diambil selepas seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditikam hingga mati oleh rakan sekelasnya, November lalu. 

Media tempatan melaporkan kejadian itu berpunca daripada perselisihan di media sosial, malah video yang menyokong pembunuhan tersebut turut tersebar di TikTok.

TikTok dalam kenyataan balas menyatakan pihaknya sedang berusaha mendapatkan penjelasan segera daripada Kerajaan Albania mengenai larangan tersebut.

“Kami tidak menemukan sebarang bukti pelaku atau mangsa memiliki akaun TikTok. 

“Beberapa laporan turut mengesahkan video berkaitan insiden tersebut sebenarnya dimuat naik di platform lain, bukan TikTok,” kata jurucakap syarikat itu.

Langkah Albania dijangka mencetuskan perdebatan lebih meluas mengenai peranan media sosial dalam masyarakat, khususnya terhadap keselamatan dan kesejahteraan generasi muda. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya