JAKARTA: Seorang wanita berusia 61 tahun maut akibat dihentam menggunakan tong gas oleh anaknya di Kampung Rawajamun, Desa Dayeuh, Kecamatan Cileungsi, Kabupaten Bogor, Jawa Barat di Indonesia.
Suspek yang merupakan anak kandung mangsa adalah seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Resort Metro, Bekasi.
Pihak polis mengesahkan insiden terbabit berlaku di warung milik mangsa, ketika wanita itu sedang melayani pelanggan.
“Siasatan awal mendapati pembunuhan itu berlaku selepas mangsa bertengkar dengan anaknya.
“Tertuduh datang dari arah belakang, lalu menolak ibunya hingga jatuh tersungkur ke lantai.
“Dia seolah-oleh seperti dirasuk apabila menghentam kepala ibunya dengan tong gas seberat tiga kilogram sebanyak tiga kali,” kata Jurucakap Polis, Bambang Satriawan.
Menurut pihak polis, serangan turut disaksikan oleh seorang pelanggan di warung berkenaan, namun tidak berbuat apa-apa kerana takut.
“Saksi hanya memaklumkan kepada penduduk setempat, selepas suspek melarikan diri dengan kenderaan pikap Suzuki.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital, tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya. -KOMPAS.COM