LONDON : Aisberg terbesar di dunia, A23a, kembali bergerak merentasi Lautan Selatan selepas terperangkap selama beberapa bulan berpusing di satu lokasi, menurut saintis dari British Antarctic Survey (BAS).
Aisberg gergasi itu, dengan keluasan 3,672 kilometer persegi lebih besar berbanding negeri Rhode Island di Amerika Syarikat dipantau rapi sejak ia terpisah daripada rak ais Filchner-Ronne pada 1986.
Lebih 30 tahun, A23a kekal terdampar di dasar Laut Weddell, Antartika, dipercayai kerana saiznya yang besar menyebabkannya melekat pada dasar laut, namun, saiznya semakin mengecil sehingga akhirnya longgar dan dihanyutkan arus lautan.
Selepas itu, aisberg ini dibawa arus sebelum sekali lagi tersekat dalam Taylor column iaitu fenomena pusaran air berpusing yang terbentuk apabila arus laut menghentam gunung bawah laut.
Kini, setelah berjaya bebas, saintis menjangka A23a akan terus bergerak mengikuti arus ke perairan lebih panas dan menuju ke Pulau Georgia Selatan.
Aisberg ini berkemungkinan pecah dan akhirnya mencair sepenuhnya, menurut kenyataan BAS.
Sejak 1980-an, A23a beberapa kali dinobatkan sebagai ‘aisberg terbesar semasa’ tetapi pernah disaingi oleh aisberg lain yang lebih besar, namun berusia pendek seperti A68 pada 2017 dan A76 (2021).
Walaupun A23a dipercayai terpisah sebagai sebahagian daripada proses semula jadi pertumbuhan rak ais dan tidak akan menyumbang kepada kenaikan paras laut, saintis berkata, perubahan iklim sedang membawa perubahan yang membimbangkan di Antartika sekaligus berpotensi membawa kesan buruk terhadap kenaikan paras laut global.
Sepanjang perjalanan A23a, saintis turut mengkaji hakisan aisberg serta pengaruh ais laut terhadap kitaran karbon dan nutrien global.
“Kami tahu aisberg gergasi ini boleh membekalkan nutrien kepada perairan yang dilaluinya, sekali gus mewujudkan ekosistem subur di kawasan yang biasanya kurang produktif.
“Apa yang belum kami ketahui adalah bagaimana skala dan asal-usul aisberg tertentu mempengaruhi proses ini. Kami mengambil sampel air laut dari permukaan di belakang, bersebelahan dan di hadapan laluan A23a.
“Data ini dijangka membantu kami memahami kehidupan yang boleh terbentuk di sekitar A23a serta impaknya terhadap karbon di lautan dan keseimbangannya dengan atmosfera,” kata Laura Taylor, ahli biogeokimia dalam kenyataan BAS. -AGENSI