OTTAWA: Hampir 50,000 rakyat Kanada dilaporkan meninggal dunia akibat terlebih dos opioid sejak Januari 2016 hingga Jun lalu, dengan bahan fentanyl semakin menjadi punca utama kematian.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Kanada, sebanyak 49,105 kematian akibat ketoksikan opioid yang dilaporkan telah direkodkan sepanjang tempoh hamper lapan tahun itu.
Statistik menunjukkan fentanyl terlibat dalam 79 peratus daripada keseluruhan kematian akibat opioid setakat tahun ini, peningkatan sebanyak 39 peratus sejak 2016.
Pihak berkuasa Kanada mengakui peningkatan ketara dalam pengeluaran fentanyl domestik, dengan rampasan bahan tersebut di Amerika Syarikat (AS), Australia dan beberapa negara lain menunjukkan pengeluaran fentanyl tempatan telah melebihi permintaan.
Ini menyebabkan Kanada kini menjadi pengeksport bersih fentanyl, menurut Kementerian Luar Negeri Kanada.
Namun, pakar tidak percaya fentanyl dari Kanada menjadi penyumbang utama di pasaran AS.
Laporan kementerian itu juga menyatakan, setakat tahun ini, purata 21 orang meninggal dunia setiap hari akibat terlebih dos opioid, dengan 72 peratus daripadanya adalah lelaki.
Walaupun angka tersebut menunjukkan sedikit penurunan berbanding tempoh sama pada 2023, pihak kementerian mengingatkan data tersebut masih bersifat awal dan tertakluk kepada perubahan.
Fenomena fentanyl di Kanada turut menarik perhatian Presiden terpilih AS, Donald Trump, yang menjadikan isu ini sebagai alasan untuk mengenakan tarif besar terhadap import dari Kanada.
Trump menuduh Ottawa gagal menangani aliran fentanyl ke AS dan mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus akan kekal sehingga pihak berkuasa Kanada mengambil tindakan terhadap masalah tersebut.-AGENSI