NIAMEY: Seramai 39 orang dilaporkan terbunuh dalam dua serangan berdarah yang berlaku sejak beberapa hari lalu di barat Niger, berhampiran sempadan Burkina Faso, menurut Kementerian Pertahanan negara itu pada Sabtu.
Kementerian itu menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan kejam yang mengorbankan 21 orang di Libiri dan 18 lagi di Kokorou, termasuk kanak-kanak.
Operasi itu berlangsung dari 12 hingga 14 Disember lalu, namun tiada maklumat diberikan mengenai waktu sebenar serangan berlaku.
“Dua tragedi ngeri berlaku di komuniti Libiri dan Kokorou apabila penjenayah, yang semakin terdesak akibat operasi berterusan pasukan keselamatan, melancarkan serangan terhadap penduduk awam yang tidak bersenjata,” kata kementerian itu.
Kedua-dua komuniti tersebut terletak di wilayah sempadan Tera, kawasan yang menjadi sarang militan dan sering menyaksikan serangan jihad berdarah dalam beberapa hari terakhir.
Kawasan sempadan antara Niger, Mali, dan Burkina Faso telah lama menjadi tempat persembunyian kumpulan jihad yang bersekutu dengan kumpulan Daesh dan Al-Qaeda, yang melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan.
Pada 7 Disember lalu, serangan terhadap konvoi barangan di kawasan itu menyebabkan 21 orang terbunuh, menurut sumber tempatan.
Rabu lalu, laporan BBC dan RFI melaporkan kumpulan jihad membunuh 90 askar dan lebih 40 orang awam di Chatoumane, wilayah Tera.
Walaupun angka korban tidak dapat disahkan secara bebas, sumber keselamatan Barat memberitahu AFP antara 90 hingga 100 orang terkorban dalam serangan, Selasa lalu.
Susulan laporan itu, kerajaan tentera Niger menggantung siaran radio BBC selama tiga bulan, menambah senarai panjang media Barat yang dikenakan sekatan sejak rampasan kuasa pada Julai 2023.-AGENSI