SAO PAULO : Seramai 38 orang terkorban selepas sebuah bas yang dinaiki terbakar akibat berlaku perlanggaran di negeri Minas Gerais, tenggara Brazil pada Sabtu.
Menurut Polis Persekutuan (PRF), kemalangan itu merupakan insiden paling buruk di lebuh raya Persekutuan negara itu sejak 2007.
Pihak Polis mengesahkan 38 kematian, manakala sembilan lagi mangsa menerima rawatan di hospital.
Berdasarkan maklumat awal, sebuah blok granit dipercayai tercabut daripada sebuah lori yang bergerak dari arah bertentangan lalu melanggar bas tersebut, kata PRF dalam kenyataan.
Pihak bomba sebelum ini memaklumkan tayar bas berkenaan mungkin meletup sekitar pukul 4 pagi, menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Kenderaan lain yang turut melanggar bas itu dari belakang, bagaimanapun tidak melibatkan kematian, kata pihak berkuasa.
Bas yang dalam perjalanan dari Sao Paulo ke Vitoria da Conquista di negeri Bahia itu terbakar selepas berlaku perlanggaran.
Jumlah mangsa yang terkorban meningkat sepanjang hari, dengan jurucakap bomba tempatan memberitahu AFP keadaan mayat yang rentung menyukarkan proses pengesahan jumlah sebenar.
Menurut pihak bomba, beberapa mangsa dilaporkan terperangkap di dalam bas, dan pasukan penyelamat terpaksa mengeluarkan sisa mayat yang rentung dari serpihan kenderaan tersebut.
Antara yang terkorban termasuk pemandu bas serta seorang kanak-kanak.
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang dahsyat serta menyampaikan ucapan takziah melalui media sosial.
“Saya amat berdukacita. Doa saya untuk mangsa yang terselamat dalam tragedi dahsyat ini kembali pulih,” katanya.
November lalu, satu lagi kemalangan bas di negeri Alagoas, Brazil, yang mengorbankan 17 nyawa apabila kenderaan itu terjunam ke dalam gaung semasa melalui jalan pergunungan yang terpencil.-AGENSI