GAZA: Serangan udara Israel di Gaza pada Sabtu mengorbankan sekurang-kurangnya 34 penduduk Palestin, termasuk empat wanita, lapor pegawai kesihatan di wilayah itu.
Menurut pegawai kesihatan, sebuah rumah di bandar Gaza menjadi sasaran serangan udara Israel, menyebabkan kematian empat wanita tersebut.
Bagaimanapun, pihak tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut, manakala Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan puluhan mangsa cedera dalam serangan itu.
Israel mendakwa kumpulan pejuang Hamas menggunakan penduduk awam dan harta benda sebagai perisai, namun dakwaan ini dinafikan oleh Hamas.
Sementara itu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani berkata, negaranya sedang berunding dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat di bawah Donald Trump untuk mencari momentum baharu bagi mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
Wakil khas Trump ke Asia Barat dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Qatar dan Israel bagi memulakan rundingan tersebut, menurut sumber yang dimaklumkan kepada agensi berita Reuters.
Hamas pada Sabtu menegaskan sebarang perjanjian gencatan senjata hanya boleh dicapai jika perang di Gaza dihentikan sepenuhnya.
“Penghentian perang dan pencerobohan adalah syarat utama untuk sebarang perjanjian,” menurut kenyataan Hamas yang memetik kenyataan Mohammad Darwish, salah seorang pemimpin tertinggi kumpulan itu.
Perang di Gaza yang berlarutan lebih 14 bulan, menyebabkan kemusnahan besar di wilayah itu dengan lebih 44,000 penduduk Palestin terkorban, manakala, Israel terus melancarkan operasi untuk menghapuskan Hamas dan menyelamatkan tebusan yang diculik oleh kumpulan itu.
Keganasan antara Israel dan Palestin ini bermula selepas serangan besar-besaran oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan 1,200 penduduk Israel serta menyebabkan lebih 250 orang diculik.-AGENSI