ROM: Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati menyeru agar pelarian Syria yang mencari perlindungan di negaranya agar kembali ke tanah air mereka, selpas kejatuhan Bashar al-Assad.
Mikati berkata demikian semasa berucap dalam sebuah festival politik anjuran parti Brothers of Italy pimpinan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, Sabtu lalu.
“Akibat perang saudara di Syria, Lubnan kini menempatkan jumlah pelarian tertinggi di dunia secara per kapita, dengan satu pertiga daripada populasi kami terdiri daripada pelarian Syria,” katanya.
Beliau turut menegaskan tekanan terhadap sumber negara telah memberi kesan besar, sekali gus memburukkan masalah ekonomi sedia ada dan mencetuskan persaingan sengit untuk pekerjaan serta perkhidmatan.
“Hari ini, selepas berlakunya transformasi politik di Syria, penyelesaian terbaik adalah untuk pelarian Syria kembali ke tanah air mereka,” tambahnya.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, negara yang mempunyai populasi seramai 5.8 juta orang itu kini menempatkan kira-kira dua juta pelarian Syria, termasuk lebih 800,000 yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini menjadikan Lubnan sebagai negara dengan jumlah pelarian per kapita tertinggi di dunia.
Sebilangan besar pelarian ini melarikan diri selepas perang saudara Syria tercetus pada 2011, berikutan tindakan keras terhadap protes anti-kerajaan.
Mikati turut menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya Eropah, supaya membantu mempermudah kepulangan pelarian Syria dengan melibatkan diri dalam usaha pemulihan awal di kawasan-kawasan yang selamat di Syria.