HANOI: Insiden kebakaran di sebuah kafe dan pusat karaoke di ibu negara Vietnam yang mengorbankan 11 individu dan mencederakan dua yang lain, dipercayai akibat perbuatan khianat.
Kementerian Keselamatan Awam Vietnam memaklumkan seorang lelaki telah ditahan selepas mengaku menyalakan api di tingkat bawah bangunan tersebut susulan perselisihan dengan kakitangan premis.
Pasukan penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian berjaya membawa keluar tujuh individu dalam keadaan selamat, dengan dua daripadanya dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, kata polis.
Rakaman video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan sebuah bangunan bertingkat dijilat api ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran, sambal disaksikan oleh orang ramai yang berkumpul di sekitar lokasi kejadian.
“Ketika itu, kami melihat ramai orang menjerit meminta tolong tetapi tidak dapat mendekati mereka kerana api merebak dengan sangat cepat. Walaupun menggunakan tangga, kami tidak dapat memanjat naik,” kata seorang saksi seperti dilaporkan akhbar Lao Dong.
Akhbar Tien Phong pula melaporkan terdapat bau petrol yang kuat di lokasi kejadian.
Rakaman CCTV yang disiarkan oleh laman berita VnExpress menunjukkan seorang lelaki membawa baldi ke arah kafe tersebut beberapa saat sebelum api mula marak sekitar pukul 11 malam (waktu tempatan) pada Rabu.
Menurut statistik Kementerian Keselamatan Awam, antara tahun 2017 hingga 2022, sebanyak 17,000 kejadian kebakaran di kawasan kediaman yang mengorbankan 433 nyawa di negara itu, dengan kebanyakannya di kawasan bandar.
Pada September, tahun lalu, seramai 56 orang, termasuk empat kanak-kanak, terkorban dalam kebakaran di sebuah blok apartmen di Hanoi.
Sementara itu, pada Oktober tahun ini, sebuah mahkamah di wilayah Binh Duong menjatuhkan hukuman penjara ke atas enam individu, termasuk empat pegawai polis, atas kegagalan keselamatan yang menyebabkan kebakaran di sebuah kompleks karaoke pada tahun 2022, yang mengorbankan 32 nyawa. -AGENSI