BUSAN: Rundingan terakhir bagi mencapai perjanjian antarabangsa untuk mengawal pencemaran plastik memasuki fasa genting apabila lebih 100 negara menyokong cadangan mengehadkan pengeluaran plastik.
Sokongan itu bagaimanapun berdepan tentangan sengit daripada segelintir negara pengeluar minyak yang mahu fokus hanya diberikan kepada pengurusan sisa.
Mesyuarat Kelima Jawatankuasa Perunding Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INC-5), yang bertujuan menghasilkan perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang, berakhir di Busan, semalam.
Perjanjian yang diharapkan daripada rundingan ini dianggap paling signifikan sejak Perjanjian Paris 2015 dalam menangani perlindungan alam sekitar dan isu pemanasan global.
Menurut laporan, negara-negara masih tidak mencapai kata sepakat mengenai skop asas perjanjian itu.
Usul Panama yang disokong lebih 100 negara mencadangkan sasaran global untuk mengurangkan pengeluaran plastik, manakala cadangan lain langsung tidak membenarkan sebarang had pengeluaran.
“Kita perlu menangani keseluruhan kitaran hayat plastik. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kitar semula untuk menyelesaikan krisis ini,” kata Duta Khas EU untuk Iklim dan Alam Sekitar, Anthony Agotha.
Negara-negara pengeluar petrokimia seperti Arab Saudi terus membantah usaha mengehadkan pengeluaran plastik dan menggunakan taktik prosedur untuk melengahkan rundingan.
Wujud kebimbangan perbincangan itu mungkin gagal atau terpaksa dilanjutkan, beberapa jam sebelum rundingan tamat.
Pengeluaran plastik dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2050, dengan mikroplastik kini dikesan dalam udara, hasil tanaman segar dan susu ibu manusia.
Laporan 2023 oleh Program Alam Sekitar PBB menyenaraikan lebih 3,200 bahan kimia berbahaya dalam plastik yang memberi risiko tinggi kepada wanita dan kanak-kanak. -AGENSI