GAZA : Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dan puluhan lagi cedera dalam serangan udara Israel di Gaza, awal pagi hari ini, menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah bergolak itu.
Serangan terhadap sebuah rumah di kejiranan Zeitoun, Gaza, menyebabkan lima maut dan 20 lagi cedera.
Pasukan perubatan memberi amaran angka korban dijangka meningkat kerana ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.
Dalam insiden berasingan, lima wartawan terbunuh apabila kenderaan dinaiki mereka terkena serangan berhampiran hospital Al-Awda di Nuseirat, tengah Gaza.
Wartawan berkenaan bekerja untuk saluran televisyen Al-Quds Al-Youm, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Media Palestin dan wartawan tempatan melaporkan kenderaan tersebut jelas ditandakan sebagai van media dan digunakan untuk melaporkan berita dari dalam hospital dan kem Nuseirat.
Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak Israel berhubung serangan tersebut.
Pada Rabu, kumpulan pejuang Palestin, Hamas, dan Israel saling menuding jari atas kegagalan mencapai perjanjian gencatan senjata, meskipun kedua-dua pihak sebelum ini melaporkan kemajuan dalam rundingan tersebut. -AGENSI