PETALING JAYA: Bekas ketua pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) baharu.
Watikah pelantikan itu disampaikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam satu majlis di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di Kuala Lumpur.
Menurut Mohamad Sabu, pelantikan itu dilakukan atas kepercayaan terhadap kemampuan Zainal Rahim dalam melakukan reformasi LPP melibatkan tatakelola di Nafas.
“Nafas akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan Nafas kini di bawah arahan pentadbir dengan dikawal selia Pendaftar Pertubuhan Peladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang membuat satu perintah penggantungan Nafas berkuat kuasa pada 1 November lepas di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973.
Mengikut kenyataan itu lagi, semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diurus oleh pentadbir yang dilantik Pendaftar Pertubuhan Peladang.
Majlis Penasihat Nafas pula berfungsi menasihati pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh pentadbir kepada pendaftar berhubung masalah harian.
LPP memaklumkan langkah berkenaan bagi memastikan fungsi Nafas berjalan dengan cekap tanpa gangguan.
“Dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan, agar segala pemulihan Nafas dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN