PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada mangsa tanah runtuh melibatkan dua beradik.
Katanya, kejadian berlaku di Kampung Bukit Apit, Ajil, Hulu Terengganu itu meragut nyawa Puteri Sajidah binti Azman, 16 dan adiknya, Fatimah binti Azman, 13.
“Di saat negara kita sedang menghadapi ujian bencana banjir, kita dikejutkan dengan satu lagi berita duka mengenai kejadian tanah runtuh yang telah meragut nyawa dua beradik.
“Saya mendoakan agar roh kedua-dua Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
“Semoga keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan yang sangat berat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – UTUSAN