PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja kebangsaan membuka tirai saingan Piala Asia Remaja 2024 dengan bergaya selepas berjaya menewaskan China 5-2 di Oman, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Oman, Muscat itu, Young Tigers bermula hambar apabila China membuka jaringan seawal minit kelima menerusi pukulan penalti sudut, Wang Yubo.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia menyamakan kedudukan menerusi Che Nur Aqirullah pada minit ke-17 dan keputusan terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan Young Tigers bermula garang apabila Muhammad Addy Jazmi Jamlus dan Muhammad Khairul Norizam menyempurnakan pukulan penalti sudut pada minit ke-34 dan 44.
Selang satu minit kemudian, bekas pemain skuad senior kebangsaan, Naaveenash Panicker menyumbat satu lagi jaringan untuk pasukan sebelum Zhang Jialiang menjaringkan untuk China pada minit ke-46.
Permainan hampir ke penghujungnya, Muhammad Danish Danial Abdul Wahab menyempurnakan pukulan penalti sudut satu minit sebelum tamat perlawanan.
Young Tigers yang berada di Kumpulan B, seterusnya akan bertemu tuan rumah esok malam bagi aksi kedua peringkat kumpulan. – UTUSAN