PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja kebangsaan meneruskan rentak kemenangan selepas membelasah Oman 9-1 pada aksi kedua peringkat kumpulan B Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Oman di Muscat, awal pagi tadi.
Pemain Young Tigers, Harris Iskandar Osman muncul wira negara selepas membuka jaringan pada minit pertama sekali gus menyumbat sebanyak empat gol secara keseluruhan pada perlawanan terbabit.
Bekas pemain skuad senior kebangsaan, Naaveenash Panicker turut menyumbang dua jaringan pada minit keenam dan 12 serta baki dihasilkan oleh Handzalah Abdul Hadi (m-24), Danish Aiman Khairil Anuar (m-35) dan Che Nur Aqilrullah Che Khairulzi Anwar (m-54).
Terdahulu, Malaysia yang berada di tangga ke-11 terbaik dunia turut membenam China 5-2 di perlawanan pembukaan pada Selasa.
Malaysia seterusnya akan meneruskan saingan bertemu dengan Bangladesh Sabtu ini pukul 6.30 petang sebelum perlawanan terakhir kumpulan B menentang Pakistan pada Ahad.
Mengikut format pertandingan hanya dua negara teratas daripada lima pasukan di peringkat kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Young Tigers berada di landasan tepat untuk mara ke separuh akhir selepas menjadi pendahulu di Kumpulan B. – UTUSAN