KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan memberi kewarganegaraan secara borong kepada 1.2 juta warga China yang didakwa tidak keluar dari negara ini melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 membabitkan kewarganegaraan sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah yang sangat dahsyat dan seharusnya dihentikan segera.
Kata beliau, kerajaan hanya memberi kewarganegaraan kepada 103 rakyat China, mengikut Peruntukan 15(1) Perlembagaan Persekutuan.
“(Hanya) 103 orang, bukan 1.2 juta orang. Yang kita bagi warganegara Malaysia di bawah kategori 19(1) maknanya suami warga asing, kahwin dengan wanita tempatan, warga China di bawah kategori tersebut yang kita bagi warganegara (adalah) 100 orang.
“Itulah jumlahnya sejak tahun 2013, ini hiruk-pikuk (dakwa) bagi warganegara secara borong dan memainkan sentimen,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Katanya, beliau mempunyai sejumlah laporan yang dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung pemimpin-pemimpin yang memainkan sentimen berhubung isu kewarganegaraan itu.
“Saya ada sejumlah rekod laporan polis pemimpin mana yang memainkan isu ini di dalam masjid (dan) surau. Sebab itu polis buka siasatan bawah 3R (agama, raja dan kaum).
“Tanpa tanggungjawab memainkan sentimen sebab ini (soal rakyat) China, sekarang biar data berbicara,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, Akta Tahanan Rumah hanya terpakai kepada individu yang dikenakan perintah tahanan reman sementara menunggu perbicaraan mahkamah sekiranya diluluskan.
Katanya, akta tersebut tidak terpakai kepada individu yang ditahan reman kerana melakukan kesalahan termasuk jenayah yang memperuntukkan hukuman mati dan penjara seumur hidup.
Malah, kata beliau, tahanan reman yang didakwa di bawah kesalahan serius yang membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas seperti keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan juga tidak layak ditahan di rumah.
Katanya, setakat semalam, terdapat 87,229 prospek termasuk 28,000 individu yang ditahan reman di penjara seluruh negara, walaupun penjara hanya mampu memuatkan 74,000 orang.
“Hasrat kami adalah memberi kuasa kepada mahkamah untuk mempertimbang dan memerintahkan yang direman ditahan di rumah dan dipakaikan peranti hingga tarikh perbicaraan.
“Kelebihan daripada akta baharu ini penjara jadi lebih kondusif kerana tidak terlalu padat,” katanya. – UTUSAN