LAS VEGAS: Pelumba Red Bull, Max Verstappen merangkul kejuaraan dunia Formula Satu (F1) keempatnya ketika George Russell mengetuai Mercedes dalam penamat satu dua di Grand Prix (GP) Las Vegas, sebentar tadi.
Pemandu Belanda itu dinobatkan sebagai juara dunia untuk kali keempat berturut-turut selepas menduduki tempat kelima di hadapan pencabar terdekat, Lando Norris.
Pemandu Mclaren itu perlu mengatasi Verstappen dengan jurang tiga mata di hadapan untuk mengekalkan harapan tipis kejuaraannya.
Russell sebagai juara mendahului rakan sepasukannya Hamilton, yang memacu perlumbaan hebat untuk naik dari tempat ke-10 di grid dan melengkapkan penamat satu dua untuk Silver Arrows sejak GP Sao Paulo di Brazil pada 2022.
Namun kisah malam di litar Las Vegas menjadi milik Verstappen yang menjadi pemandu keenam dalam sejarah F1 meraih kejuaraan dunia empat kali menyamai jumlah Sebastian Vettel dan Alain Prost.
Pemandu Ferrari, Carlos Sainz menamatkan podium di tempat ketiga dengan rakan sepasukannya, Charles Leclerc melepasi Verstappen pada peringkat penutup untuk merampas carta keempat.
Norris berada di kedudukan keenam di hadapan rakan sepasukannya, Oscar Piastri ketika Mclaren bergelut mencari rentak perlumbaan. – AGENSI