UP_TVET dapat reaksi menggalakkan

UP_TVET dapat reaksi menggalakkan

ZULEAH Darsong (tiga kiri) ketika merasmikan Program Santun Madani (Satu Pemimpin, Satu Kampung) di Dewan Semai Bakti, Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor. – IHSAN/Jabatan Pembangunan Kemahiran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KUBU BHARU: Kerajaan menyediakan saluran permohonan khas untuk golongan belia dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat menceburi bidang Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Zuleah Darsong berkata, sistem Unit Pengambilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (UP_TVET) itu kini sudah dibuka sehingga 15 November ini untuk Permohonan Siri Perdana Ambilan Januari 2025.

Kata beliau, mereka yang berminat boleh melayari laman web UP_TVET untuk mendapatkan informasi lanjut terutama mengenai kursus-kursus yang ditawarkan dan membuat permohonan.

“UP_TVET adalah satu saluran permohonan utama dan tunggal untuk melanjutkan pengajian dalam program TVET merentasi semua agensi TVET. Pewujudan laman permohonan itu memberi pelbagai manfaat kepada pelajar,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

ZULEAH Darsong (kiri) menyerahkan plak dan surat hasrat kepada Pengurus Felda Soeharto, Abdul Hatta Mohd. Nawi di Dewan Semai Bakti, Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Pada 2021, Majlis TVET Negara ditubuhkan bagi menambah baik penyelarasan ekosistem TVET negara dalam usaha memastikan laluan TVET sebagai agenda nasional.

Jemaah Menteri bersetuju menyelaras pelaksanaan dan penawaran TVET melalui satu saluran tunggal sejak 2 Ogos, tahun lalu.

Mesyuarat MTVET pada 5 Oktober tahun lalu juga memutuskan pewujudan portal UP_TVET sebagai saluran tunggal permohononan bagi mereka yang berminat mengikuti TVET.

Mengulas lanjut, Zuleah berkata, UP_TVET membantu pelajar untuk mencari maklumat dan berurusan dengan banyak institusi secara berasingan tanpa perlu bimbang.

“Segala maklumat berkaitan program, kursus, syarat kemasukan dan tarikh penting disatukan dalam satu platform. Ini menjimatkan masa dan mengurangkan risiko kehilangan maklumat penting,” jelasnya.

Malah katanya, UP_TVET merupakan platform yang berpusat dengan membolehkan pelajar membuat perbandingan lebih menyeluruh antara program ditawarkan oleh pelbagai institusi.

“Ini memberikan mereka lebih pilihan dan peluang untuk memilih program yang sesuai dengan minat dan keperluan mereka,” katanya.

Tambahnya, ambilan Januari 2025 menyaksikan penawaran sebanyak 12,000 tempat di 277 institusi TVET.
“Kita telah terima permohonan yang sangat menggalakkan.

“Jadi kepada anak muda yang berminat untuk mendapatkan kemahiran dengan pensijilan yang diiktiraf, jangan berlengah lagi, boleh segera membuat permohonan sebelum tamat tempoh permohonan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN