CARACAS: Peguam Negara Venezuela, Tarek William Saab mempertahankan tindakan tegas kerajaan terhadap penyokong pembangkang selepas pilihan raya Julai lalu yang dipertikaikan, dengan menjelaskan langkah itu berjaya menghalang negara daripada berdepan perang saudara.
Pengumuman kemenangan Presiden, Nicolas Maduro dalam Pilihan Raya 28 Julai lalu, mencetuskan protes besar-besaran.
Pembangkang yang dijangka menang mudah berdasarkan tinjauan pendapat telah mengeluarkan keputusan peringkat pusat undian yang menunjukkan calon mereka, Edmundo Gonzalez Urrutia, memenangi pilihan raya dengan majoriti besar.
Rusuhan menyaksikan 28 orang, termasuk dua pegawai polis terbunuh, manakala 200 lagi cedera dan kira-kira 2,400 individu ditahan.
Saab mendakwa kekacauan tersebut dirancang dengan rapi sehingga boleh menimbulkan perang saudara.
“Rancangannya adalah menuduh terdapat penipuan untuk mencetuskan tindakan keganasan. Jika kami tidak bertindak sewajarnya, Venezuela akan terjebak dalam perang saudara,” katanya dalam satu wawancara bersama AFP di pejabatnya di Caracas.
Beliau yang dilantik sebagai Peguam Negara sejak 2017 menafikan pasukan keselamatan bertanggungjawab atas kematian penunjuk perasaan.
Sementara itu, laporan Human Rights Watch (HRW) pada 4 September lalu, mendapati pasukan keselamatan Venezuela dan militan pro-kerajaan yang dikenali sebagai ‘colectivos’ terlibat dalam beberapa kematian tersebut.
Salah seorang mangsa ialah seorang remaja berusia 15 tahun, Isaias Jacob Fuenmayor Gonzalez, yang terkena tembakan di leher semasa protes di Maracaibo, bandar kedua terbesar di Venezuela.
Pembangkang mendakwa ramai daripada mereka yang ditahan ditangkap secara sewenang-wenangnya.
NGO hak asasi manusia, Foro Penal Venezuela menyatakan kira-kira 1,800 orang masih di penjara, termasuk 69 remaja. -AGENSI