PETALING JAYA: Berita baik buat peminat badminton tempatan apabila tiket Kejohanan Badminton PETRONAS Terbuka Malaysia 2025 akan mula dijual hari ini.
Kejohanan pembuka tirai bagi siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu akan berlangsung pada 7 hingga 12 Januari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menerusi kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tiket akan mula dijual secara dalam talian di http://t2u.asia/e/39413 bermula jam 9.00 pagi ini.
“Harga tiket masih kekal sama seperti edisi tahun lalu. Ada tambahan kategori tiket baharu, Platinum B, diperkenalkan untuk memberikan lebih banyak pilihan tempat duduk kepada penyokong.
“Mereka yang ingin menyaksikan keseluruhan kejohanan boleh membeli tiket bermusim dengan harga bermula antara RM282 sehingga RM2,000 bergantung kepada kategori,” kata BAM menerusi kenyataan.
Terbuka Malaysia 2025 diramalkan akan mendapat sambutan hangat dan para penyokong diingatkan untuk membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan kehabisan, terutamanya dengan adanya promosi pembelian awal yang berlangsung sehingga 23 Disember.
“Kami menggalakkan peminat badminton yang ingin menyaksikan perlawanan secara langsung di stadium supaya segera melayari laman web jualan tiket dan membeli tiket mereka.
“Dalam edisi-edisi sebelum ini, kategori popular sering habis dijual dengan pantas selepas jualan bermula,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh. – UTUSAN