GAZA: Perjanjian pertukaran tebusan dengan Israel hanya akan dilaksanakan sekiranya perang di Gaza berakhir.
Perkara itu ditegaskan Pemangku Ketua Hamas di Gaza, Khalil Al-Hayya dalam wawancara televisyen dengan saluran Al-Aqsa, kelmarin.
“Tanpa berakhirnya perang, tiada pertukaran tebusan boleh dilakukan. Jika pencerobohan tidak dihentikan, mengapa pejuang khususnya Hamas perlu memulangkan tebusan?
“Bagaimana seseorang yang waras atau tidak siuman boleh melepaskan sesuatu yang memberi kelebihan ketika perang berterusan,” katanya sebagai mengulangi pendirian Hamas mengenai cara menamatkan konflik.
Khalil, yang mengetuai pasukan perunding Hamas dalam perbincangan dengan pengantara Qatar dan Mesir, menyalahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana gagal mencapai kemajuan untuk gencatan senjata.
“Kami sedang berhubung dengan beberapa negara dan pengantara untuk menghidupkan semula rundingan ini.
“Kami bersedia untuk meneruskan usaha tersebut, tetapi lebih penting untuk melihat kesungguhan pihak penjajah bagi menghentikan pencerobohan.
“Realitinya, Netanyahu adalah orang yang merosakkan (rundingan) itu,” katanya.
Semasa lawatan ke Gaza pada Selasa lalu, Netanyahu mendakwa Hamas tidak akan memerintah kawasan Palestin selepas perang berakhir.
Beliau juga mendakwa, pasukan Israel sudah memusnahkan keupayaan ketenteraan kumpulan pejuang itu.- REUTERS