Tebogo mahu jadi inspirasi generasi muda Afrika

Tebogo mahu jadi inspirasi generasi muda Afrika

LETSILE TEBOGO - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Setelah menewaskan kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan Jamaica untuk meraih emas di Sukan Olimpik yang jarang dimiliki Afrika, Letsile Tebogo berharap kejayaan tersebut dapat membuka mata kepada atlet dari benua itu yang belum diterokai.

Pelari pecut dari Botswana itu menjadi tumpuan pada Olimpik Paris tahun ini berikutan kejayaannya menjadi atlet Afrika pertama yang memenangi acara 200 meter (m) dan perak dalam lari berganti 4x400m lelaki.

Atlet berusia 21 tahun itu juga merupakan pemenang emas Olimpik pertama dari Botswana untuk sebarang sukan, mencatat rekod Afrika 200m dengan masa 19.46 saat (s), menjadikannya di tempat kelima dalam senarai terbaik sepanjang zaman menewaskan bintang AS, Noah Lyles di tempat ketiga.

Selepas menamatkan musim Liga Berlian dengan bergaya, Tebogo telah menghabiskan masa lapangnya dengan bertani di Botswana, tetapi dalam beberapa minggu mendatang, dia akan mula mempersiapkan diri untuk musim seterusnya.

“Olimpik telah membawa saya ke tahap yang berbeza. Ia telah membuka banyak pintu untuk saya.

“Ia memberikan lebih banyak pemerkasaan untuk golongan muda di negara ini, di benua Afrika, kerana sekarang banyak orang muda mahu terlibat dalam aktiviti sukan, bukan hanya dalam olahraga, kerana saya telah menunjukkan kepada mereka bahawa segala-galanya adalah mungkin,” katanya.

Tebogo sedang membina legasi Frankie Fredericks, yang dianggap sebagai pelopor pelari pecut moden Afrika.

Bagaimanapun, dia telah melangkah lebih jauh berbanding Fredericks, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada Olimpik 1992 dan 1996, dan dia berharap kejayaannya dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

“Saya percaya terdapat potensi sebenar di Afrika, cuma kita tidak mempunyai banyak sumber seperti negara lain,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya