TOKYO: Sebuah kebakaran besar tercetus di tapak ujian roket Jepun menyebabkan asap dan api menjulang ke langit, hari ini.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan cabaran kepada program angkasa lepas negara itu.
Kejadian berlaku di kawasan terpencil di Kagoshima, selatan Jepun, ketika ujian pembakaran roket bahan api pepejal Epsilon S sedang dijalankan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Rakaman oleh penyiar nasional NHK menunjukkan api berskala besar dan asap putih muncul dari Pusat Angkasa Tanegashima, tempat ujian itu berlangsung.
Wartawan yang berada kira-kira 900 meter dari lokasi melaporkan satu letupan besar berlaku sejurus ujian pembakaran bermula pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan.
“Berlaku keabnormalan semasa ujian pembakaran hari ini. Kami sedang berusaha menilai apa yang telah berlaku,” menurut kenyataan Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA).
Setakat ini, tiada kecederaan dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Akhbar Asahi Shimbun melaporkan insiden ini hampir pasti menggagalkan rancangan agensi itu untuk melancarkan Epsilon S, yang merupakan pengganti roket Epsilon, sebelum Mac 2025.
Pada Julai 2023, sebuah enjin Epsilon S pernah meletup ketika ujian kira-kira 50 saat selepas pencucuhan.
Dalam insiden itu, logam daripada pencucuhan telah mencair dan merosakkan penebat haba enjin, menyebabkan bahan api terbakar, menurut laporan Kyodo News.
Program angkasa lepas Jepun kini berdepan cabaran besar untuk mengekalkan jadual pelancaran, sekali gus menjejaskan misi penting negara dalam industri aeroangkasa global. – AFP