PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menerima tamparan hebat apabila tewas kepada beregu No. 201 dunia pada aksi pusingan pertama Masters Jepun 2024, sebentar tadi.
Pada aksi di Gimnasium Wilayah Kumamoto itu, pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsmapran hanya memerlukan 32 minit sahaja untuk menyingkirkan beregu No. 9 dunia itu 21-15, 21-12.
Berdasarkan mata ranking Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Tang Jie-Ee Wei sudah mengesahkan tiketnya ke Hangzhou selepas menduduki di tangga keempat.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa bermandi peluh untuk mara ke pusingan kedua.
Beregu No. 10 dunia itu kelihatan bergelut untuk menewaskan wakil tuan rumah, Yuta Watanabe-Maya Taguchi menerusi permainan rubber set 21-18, 12-21, 14-21 dalam masa 54 minit.
Pasangan suami isteri itu seterusnya bakal bertemu rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada aksi pusingan kedua esok.
Pang Ron-Su Yin sebelum itu, mudah menumpaskan wakil tuan rumah, Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dalam permainan straight set 21-18, 21-19.
Dalam pada itu, satu lagi pasangan profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut mara ke pusingan kedua Masters Jepun selepas menewaskan gandingan Denmark.
Tien Ci-Chiew Si terpaksa mengerahkan sepenuh tenaga untuk menewaskan Jesper Toft-Amalie Magelund menerusi permainan rubber set 20-22, 21-11, 12-21 dalam tempoh sejam 14 minit.
Pasangan itu seterusnya akan mengaturkan pertemuan dengan gandingan Amerika Syarikat (AS), Presley Smith-Jennie Gai pada aksi pusingan kedua, esok. – UTUSAN