KAMPALA: Tanah runtuh yang melanda beberapa buah kampung di timur Uganda mengorbankan sekurang-kurangnya 15 nyawa, manakala lebih 100 yang lain dilaporkan masih hilang, menurut polis.
Negara Afrika Timur itu dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu, memaksa kerajaan mengeluarkan amaran bencana nasional susulan kejadian banjir dan tanah runtuh.
Tanah runtuh yang berlaku lewat malam Rabu lalu, melanda Kampung Masugu di daerah Bulambuli, kira-kira lima jam perjalanan dari ibu negara, Kampala.
Imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan timbunan tanah runtuh besar menutupi kawasan berkenaan.
“Sebanyak 15 mayat berjaya ditemukan. Malangnya, 113 orang masih hilang, namun usaha sedang dijalankan untuk mencari mereka,” menurut kenyataan polis Uganda yang disiarkan di platform X sambil menambah 15 mangsa lain dibawa ke hospital.
Sebanyak lima kampung terjejas dalam kejadian itu, iaitu Masugu, Namachele, Natola, Namagugu, dan Tagalu.
Perdana Menteri Uganda, Robinah Nabbanja melalui saluran televisyen NBS memberitahu pihaknya percaya kesemua mangsa yang hilang kemungkinan besar telah terkorban.
“Kami sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang hilang,” katanya, sambil menambah sekurang-kurangnya 19 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal.
Sebanyak 500 anggota tentera dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat, tetapi hanya 120 berjaya tiba di kampung-kampung terjejas, menurut Nabbanja.
Awal tahun ini, lebih 30 orang maut di Kampala selepas kejadian tanah runtuh di tapak pelupusan sampah. – AGENSI