PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) mensasarkan sebanyak 3300 penyertaan bagi menyertai Sukan KBS Masters 2024 yang buat julung kalinya diadakan pada 21 hingga 24 November ini.
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan MSN, Jefri Ngadirin berkata acara sukan tersebut diadakan khas bagi golongan berusia 40 tahun dan ke atas.
“Inisiatif penganjuran acara seperti ini menyahut saranan Kerajaan Madani dalam mengambil langkah proaktif menggalakan golongan berusia 40 tahun dan ke atas menceburi sukan dan berada dalam gaya hidup sihat dan aktif.
“Sebanyak 12 jenis sukan dipertandingkan tersebut iaitu akuatik (renang), badminton, berbasikal, catur, boling padang, memanah, olahraga, ping pong, sepak takraw, e-sukan, pickleball dan boules-petanque.
“Sebanyak 51 jumlah acara, 36 kategori umur dan 998 pingat ditawarkan kali ini dengan melibatkan tiga kluster utama iaitu Bukit Jalil, Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.
Pendaftaran Sukan KBS Masters 2024 telah dibuka pada 21 Oktober lalu dengan tarikh tutup penyertaan pada 12 November ini dan segala maklumat berkaitan penyertaan dan peraturan pertandingan boleh didapati di kbsmastersgames2024.nsc.gov.my. – UTUSAN