PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuba melengkapkan siasatan membabitkan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta dalam masa dua minggu lagi.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan merakam keterangan empat lagi individu dalam menjalankan siasatan berhubung aliran tunai yang diterima platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).
Kata beliau, siasatan masih diteruskan dan pihak SPRM sudah merakam percakapan 14 individu.
“Siasatan masih diteruskan. Jangkaan ada empat lagi percakapan,” katanya di sini
Pada 10 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan, masih terlalu awal untuk merumuskan sama ada berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan dana awam membabitkan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional PNB berjumlah RM43.9 juta.
Siasatan perlu dilakukan SPRM secara menyeluruh merangkumi pelbagai sudut bagi melihat sama ada terdapat penyalahgunaan dana awam itu.
Fokus siasata, pertamanya untuk melihat bagaimana keputusan pelaburan dibuat kepada FashionValet.
Selepas itu, SPRM perlu melihat pula, apabila wang pelaburan itu diberikan, ke mana dana itu dibelanjakan.
Pada 8 November lalu, siasatan SPRM berhubung kerugian pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet dijangka tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan terdapat transaksi mencurigakan dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan mereka.
Dapatan itu diperoleh selepas SPRM merampas kira-kira 60 kotak dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
SPRM juga sebelum ini memaklumkan telah menggeledah kediaman pengasas FashionValet dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.- UTUSAN